Di mana harus Darius mulakan ulasan ini? Mungkin elok kita mulakan dari kulit hadapan. Ternyata kulit hadapan Transgenesis: Bisikan Rimba (T:BR) ialah di antara kulit hadapan yang paling menarik yang pernah dihasilkan bagi sebuah novel. Jika diletakkan di atas rak buku, pasti kulit novel ini akan menonjol. Ada unsur-unsur kreativiti dan originality pada kulit novel ini.Cerita yang menjadi isi novel ini ialah cerita berkenaan penyalahgunaan teknologi. T:BR merungkai persoalan apakah yang akan berlaku apabila manusia mahu menjadi tuhan. Novel fiksyen sains ini sarat dengan persoalan-persoalan falsafah dan etika yang menyebabkan pembaca berfikir.
Dari segi teknik penceritaan, Darius memang tertarik daripada bab pertama lagi. Membaca bab pertama sahaja telah mampu mengheret pembaca "masuk" ke dalam cerita. Penulis berjaya membawa mood sinematik di dalam penceritaannya. Misteri dan rahsia diulit dengan penceritaan menyebabkan pembaca sukar melepaskan novel ini kerana pembaca sering diletakkan di dalam keadaan tertanya-tanya tentang apakah yang akan berlaku selepas itu. Dan seperti yang dikatakan oleh beberapa pengulas lain, sering tekaan dan telahan pembaca tentang apa yang akan berlaku tersasar sama sekali. Penulis berjaya membuat twist yang tidak disangka - tetapi logikal - terhadap ceritanya.
Sukar sebenarnya untuk mengulas novel T:BR ini tanpa memberikan spoiler. Walaupun demikian, cukup sekadar Darius nyatakan bahawa kisah yang bermula dengan satu pembunuhan di pinggir hutan membawa kepada terbukanya pelbagai rahsia yang tersimpan erat hampir lima dekad. Dan Darius pasti pembaca akan tertarik dengan watak yang penuh enigma iaitu gadis istimewa bernama Flora.
Syabas kepada penulis. Darius tak sabar menantikan sambungan kisah ini.
Maklumat novel:
Penulis: Amir Husaini
Penerbit: PTS Fortuna
Harga: RM24.00 (Semenanjung Malaysia) / RM27.00 (Sabah & Sarawak)
Kata Darius:
Novel fiksyen sains yang terbaik tempatan yang pernah Darius baca.
Darius
3 maklum balas:
Terima kasih atas ulasan positif yang diberikan. Mohon izin untuk "diulang tayang" di blog saya.
-Amir Husaini
Takde masalah abang Amir. Dipersilakan...
Kenapa Darius tidak cuba membaca novel2 Alaf21? Saja bertanya...
http://lailakamilia.blogspot.com
Catat Ulasan